Berita Terkini
- Written by iLEAD1
- Category: Berita Terkini




Putrajaya, 17 Oktober 2019 - Perhimpunan Bulanan Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) Bil. 7/2019 telah berlangsung pada 17 Oktober 2019 bertempat di Auditorium B1, Kompleks Jabatan Perdana Menteri. Perhimpunan Bulanan kali ini, dianjurkan oleh Kluster Kepimpinan.
Perhimpunan kali ini bertemakan sukan, sempena Sambutan Bulan Sukan Negara 2019. Program dimulakan dengan acara berbasikal oleh pihak pengurusan i-LEAD bersama tetamu VIP dan juga acara senamrobik. Aktiviti ini bertujuan bagi memastikan warga i-LEAD sentiasa fit dan mengamalkan gaya hidup sihat seiring hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menjadikan Malaysia sebagai sporting nation menjelang tahun 2020.
Pengisian majlis perhimpunan diteruskan dengan penyampaian amanat oleh Ketua Pengarah i-LEAD, YBrs. Encik Abdullah Bin Hasan, persembahan koir i-LEAD, acara kuiz dan tayangan video khas bertajuk “Sukan dan Perpaduan” kepada tetamu dan warga i-LEAD yang hadir.
Acara kemuncak majlis perhimpunan kali ini adalah Pelancaran Kontinjen Sukan bagi Agensi II yang dikenali sebagai “TEAM BARRACUDA” dan pengenalan maskot pasukan untuk bertanding di Karnival Sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Peringkat Kebangsaan. Team Barracuda terdiri daripada gabungan agensi i-LEAD, Pendaftaran Pertubuhan Belia (ROY), Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) dan Pusat Belia Antarabangsa (IYC).
Majlis perhimpunan kali ini turut meriah dengan kehadiran YBrs. Dr. Haji Mohamed Maliki Bin Mohamed Rapiee, Pengarah IYC, YBrs. Encik Badari bin Awang Damit, Pendaftar Pertubuhan Belia dan wakil Pesuruhjaya Sukan.