Berita Terkini
- Written by iLEAD2
- Category: Berita Terkini
Rembau, 17 Januari 2023 – Kem Wawasan Negara Ulu Sepri telah mengadakan Program MySIHAT@US “Cabaran 10,000 Langkah” dibawah Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN WOW) bersama Agensi Strategik i-LEAD iaitu Pejabat Kesihatan Daerah Rembau, Negeri Sembilan pada 17 Januari 2023.
Program KOSPEN WOW adalah program intervensi kesihatan di tempat kerja yang komprehensif dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertujuan mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit (Non Communicable Disease, NCD) serta faktor-faktor risiko di kalangan warga kerja dengan memperkasakan majikan dan pekerja ke arah gaya hidup sihat.
Program KOSPEN WOW melibatkan Skop program iaitu, Saringan Kesihatan, Amalan Pemakanan Sihat, Amalan Tidak Merokok, Hidup Yang Aktif, Pengurusan Berat Badan, Minda Sihat, Persekitaran Tempat Kerja Sihat dan Pencegahan Kemudaratan Alkohol.
Sesi saringan kesihatan kepada kakitangan kem telah dilaksanakan pada 9 Januari 2023 untuk mengenalpasti status kesihatan dan mengesan penyakit tidak berjangkit pada peringkat awal di kalangan kakitangan kem. Hasil pemeriksaan tersebut telah dihantar kepada Pejabat Kesihatan Daerah Rembau untuk makluman dan tindakan susulan.
Justeru itu, bermula 17 Januari 2023, Program MySIHAT@US “Cabaran 10,000 Langkah” diperkenalkan dan diluluskan untuk dilaksanakan setiap hari selasa yang melibatkan kakitangan Kem Wawasan Negara Ulu Sepri seramai 28 orang. Program ini turut disertai oleh Encik Mohd Akmaluddin bin Mudaribeni, Ketua Kem dan Puan Nini Noraiza Binti Musa, Penolong Pengarah Kem Wawasan Negara Ulu Sepri.
Semoga program ini menjadi satu transformasi dalam pembudayaan hidup sihat dan juga sebagai wadah perpaduan di kalangan kakitangan Kem Wawasan Negara Ulu Sepri.