SOALAN LAZIM UNDI 18
- iLEAD5
- UNDI 18
SOALAN : Apakah status semasa pelaksanaan undi 18 di Malaysia?
JAWAPAN : Seperti yang dimaklumi bahawa pilihan raya di negara ini akan mula menggunakan sistem berkaitan had usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik bermula pada awal tahun depan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memastikan perkara membabitkan peraturan dan perundangan bagi pelaksanaan dua perkara itu selesai menjelang 31 Disember tahun ini, dan ia sedia digunakan pada tahun depan.
Kini, Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) telah pun dikeluarkan oleh pihak SPR bagi memberi peluang kepada 5.8 juta orang bakal pemilih iaitu warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang akan didaftarkan sebagai pemilih untuk menyemak dan mengesahkan maklumat mereka dengan SPR, mulai 1 hingga 31 Oktober 2021. Semakan boleh dibuat menerusi laman sesawang SPR atau hadir ke tempat semakan SPPA di seluruh negara. Sekiranya bakal pemilih tidak lagi tinggal di alamat yang dipaparkan, bakal pemilih dinasihatkan untuk mengemaskini alamat kad pengenalan mereka di Jabatan Pendaftaran Negara selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2021.
Di samping itu, beberapa tindakan sedang dikenalpasti untuk dilaksanakan sebelum pelaksanaan umur kelayakan mengundi 18 tahun dan daftar pemilih secara automatik dilaksanakan. SPR ketika ini sedang mempersiapkan pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik, seperti yang diluluskan Parlimen pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Ke-14. Persiapan tersebut meliputi pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan prosedur operasi standard (SOP), dan penyediaan sistem serta infrastruktur bagi melaksanakan kelayakan mengundi 18 tahun dan daftar pemilih automatik, di samping mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan, program pendidikan pengundi kepada bakal pemilih dan menyemak keperluan logistik bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
SOALAN : Adakah pengundi baru 18 tahun ini bakal mencorakkan dimensi atau mengubah landskap politik negara?
JAWAPAN : Pada 25 Julai 2019, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 telah diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat. Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, pilihan raya pada masa hadapan akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik. Dengan mengambil kira jangkaan hayat penggal pentadbiran negara ini akan berakhir sehingga tahun 2023 dan PRU-15 diadakan pada tahun tersebut, kita bakal menyaksikan jangkaan pertambahan jumlah pemilih baru seramai 7.8 juta orang, iaitu peningkatan lebih 50% berbanding jumlah pemilih seramai 14.9 juta orang pada PRU-14. Dengan peningkatan yang besar ini, sudah tentu pengundi baru 18 tahun ini bakal mencorakkan dimensi atau mengubah landskap politik negara. Apa yang perlu diakukan kini ialah memastikan anak muda ini mempunyai kesedaran, memahami dan menghayati kepentingan ilmu politik, demokrasi dan hak sebagai pengundi dalam pilihan raya. Ini boleh diperolehi menerusi progam-program Literasi Demokrasi yang telah, sedang dan akan dijalankan.
SOALAN : Apakah usaha yang akan dilakukan khususnya Kementerian Belia dan Sukan bersama Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia bagi mendidik pengundi-pengundi yang baru ini?
JAWAPAN : Kementerian Belia dan Sukan mempunyai misi yang jelas iaitu untuk memacu kemajuan belia dan sukan secara holistik untuk memenuhi aspirasi negara. Sudah tentu, bakal pengundi-pengundi baru ini tergolong dalam perkumpulan belia, yang akan menjadi tanggung jawab pihak Kementerian Belia dan Sukan bagi memastikan mereka ini sedar, faham dan yakin dengan sistem demokrasi negara serta tahu mengenai hak dan tanggungjawab sebagai warganegara dalam mencorak demokrasi negara berdasarkan kebijaksanaan dan kesedaran politik yang matang. Justeru itu, menerusi Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia dan Sukan, pelbagai program untuk mendidik pengundi-pengundi baru ini telah, sedang dan akan dilaksanakan di bawah program Rukun Negara@Belia (RNB).
Program RNB adalah satu inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh i-LEAD, KBS bermula pada tahun 2021 dengan memberikan penumpuan khusus kepada golongan belia dalam usaha untuk mewujudkan kesedaran tentang peranan, keterlibatan dan ambil tahu mengenai kelayakan mengundi dari usia 18 tahun serta berusaha untuk melahirkan golongan belia yang sedar tentang konsep berkerajaan serta terlibat secara langsung dalam soal demokrasi sesebuah negara disamping membantu belia dalam meningkatkan jati diri untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab. Pada tahun ini, sebanyak 114 program RNB telah dirancang untuk dilaksanakan dengan melibatkan program-program di atas talian dan bersemuka pada awalnya sebagai perintis bagi pelaksanaan sepenuhnya pada tahun hadapan. Sehingga 18 Oktober 2021, sebanyak 96 program RNB telah berjaya dilaksanakan dengan melibatkan penyertaan seramai 58,642 orang, meliputi program-program seperti berikut:
i. RNB Mahasiswa/NGO - 7 program
ii. RNB IPGM - 2 program
iii. RNB TVET - 7 program
iv. RNB Remaja - 12 program
v. RNB Literasi Pengundi Muda - 27 program
vi. RNB Undi 18 Café - 5 program
vii. RNB Literasi Pengundi 18 - 5 program
viii. RNB Maraton Intelek - 10 program
ix. RNB Online - 18 program
x. RNB Tutor i-LEAD - 2 program
xi. RNB Eksekutif - 1 program
Setiap program yang dilaksanakan tersebut mempunyai fokus dan sasaran pesertanya yang tersendiri dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran, kefahaman dan keyakinan terhadap Undi 18. Secara khususnya, pelaksanaan program Literasi Demokrasi menerusi program RNB ini akan menekankan kepada empat (4) matlamat berikut:
(i). Meningkatkan kesedaran belia mengenai hak dan tanggungjawab sebagai warganegara dalam mencorak demokrasi negara berdasarkan kebijaksanaan dan kesedaran politik.
(ii). Meningkatkan kefahaman mengenai proses demokrasi dan sistem pilihanraya negara melalui pendidikan politik berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan.
(iii). Meningkatkan keyakinan belia mengenai kedaulatan sistem demokrasi di negara ini menerusi pelaksanaan proses pilihanraya yang adil dan telus.
(iv). Meningkatkan tahap keterlibatan (pembudayaan) belia mengenai sosialisasi politik dengan mengimbangi kesedaran dan kematangan politik ke arah masa hadapan negara yang lebih stabil.
SOALAN : Malaysia telah melakarkan sejarah dengan menurunkan had umur mengundi dan menjadi calon Ahli Parlimen (Dewan Rakyat) serta Ahli Dewan Negeri kepada umur 18, jadi adakah kerajaan akan mempertimbangkan untuk menurunkan had umur untuk menjadi Ahli Dewan Negara supaya lebih banyak suara anak muda di dewan tersebut?
JAWAPAN : Menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 di bawah Perenggan (b) Perkara 47, bersekali dengan Seksyen 5 Jadual Kelapan yang telah diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Julai 2019 tersebut, ini bermakna pihak kerajaan telah bersedia untuk mempertimbangkan Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri pada usia 18 tahun dan seterusnya memberi banyak ruang untuk suara anak muda di kedua-dua dewan tersebut.
SOALAN : Adakah anak muda akan turun mengundi serta masih minat dengan politik tanah air setelah melihat pertukaran kerajaan beberapa kali.
JAWAPAN : Undi 18 ini merupakan penghormatan yang diberikan oleh pihak Kerajaan kepada anak muda untuk menyumbang tenaga dan idea demi memperkasakan demokrasi negara. Kepercayaan yang diberikan ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk melahirkan warganegara yang bertanggungjawab (responsible citizen) dan langkah ini dilaksanakan bagi memberi peluang, ruang dan suara kepada mereka untuk sama-sama berganding bahu mencorak demokrasi Negara melalui pilihan raya. Kesedaran politik di kalangan anak muda telah meningkat. Pemikiran serta kematangan mereka juga terlihat lebih ke hadapan, sesuai dengan kemajuan yang dinikmati negara. Mereka ini terdedah kepada maklumat yang luas, pengaruh media massa dan kemajuan teknologi maklumat, menjadikan mereka golongan pintar, matang berfikir, berdikari dan lebih bermaklumat. Justeru, anak muda seharusnya mengambil peluang untuk turun mengundi beramai-ramai dengan penuh tanggungjawab kerana penting bagi anak muda sekarang menentukan hak mereka untuk bersuara perlu diterjemahkan menerusi kertas undi.
SOALAN : Apakah yang perlu dilakukan oleh parti-parti politik di negara ini bagi meraikan penglibatan anak muda dalam arena politik negara.
JAWAPAN : Kesedaran bahawa anak muda mempunyai perbezaan berbanding golongan yang lebih berusia dari segi kerterbukaan dalam arena politik negara. Mereka dilihat lebih terbuka untuk mengundi ahli politik yang tidak berlandaskan kepada parti politik tertentu ataupun berbeza latar belakang. Mereka mengikuti perkembangan dan citra politik melalui media sosial. Mereka tidak berada di lapangan atau duduk di ceramah politik, tetapi pengikut tegar secara alam maya di Facebook, Instagram, YouTube dan media sosial lainnya, yang diakui sarat dengan kempen oleh parti politik. Mereka ini mempunyai idea dan pendapat yang berbeza-beza terhadap landskap politik negara. Justeru, parti-parti politik seharusnya melihat senario ini sebagai satu perkara yang positif dan perlu dikembangkan dengan lebih meluas lagi. Pendidikan dapat mematangkan golongan pengundi seawal umur 18 tahun untuk memilih kelompok yang dapat memimpin Malaysia ke arah yang progresif. Pengetahuan mengenai intipati perlembagaan persekutuan, demokrasi, pilihanraya umum dan kepentingan mengundi memberikan suatu naratif yang baik kepada generasi anak muda. Bagi mereka peluang untuk duduk di dalam barisan saf kepimpinan untuk bersama-sama mengembeling tenaga dan idea membangunkan sesuatu organisasi. Mereka juga harus diberi peluang untuk berada di lingkaran kuasa dengan menjadi sebahagian daripada pihak yang terlibat dalam proses mempengaruhi dasar di samping meneruskan semangat dan dasar perjuangan secara intelektual dan matang.
SOALAN : Mengapakah pentingkan representasi anak muda dalam Dewan Rakyat? Adakah wajar representasi ahli parlimen mengikut kadar populasi tua dan muda?
JAWAPAN : Anak muda seperti mana yang diketahui umum, sarat dengan idea baru dan segar, sesuai dengan zamannya kini, dengan dunia tanpa sempadan dan maklumat di hujung jari. Mereka mempunyai pendapat yang berbeza-beza dan bersifat terbuka, Isu dan cabaran anak muda juga kini menjadi lebih kompleks, di tambah dengan cabaran situasi pendemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia. Sehubungan itu, representasi anak muda dalam Dewan Rakyat adalah penting untuk mereka memperjuangkan keperluan golongan ini, terutamanya yang terkait dengan masalah sosioeknomi, meliputi perkara-perkara berkaitan dengan peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan mental dan fizikal, pemilikan rumah dan sebagainya sesuai dengan konsep “Dari Belia Untuk Belia”. Namun begitu, representasi ahli parlimen mengikut kadar populasi tua dan muda tidak sewajarnya dijadikan isu utama. Apa yang penting setiap ahli parlimen yang dipilih melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat dengan membawa suara rakyat kepada pembuat dasar yang adil dan boleh memuaskan hati semua rakyat untuk kebaikan semua.