Kuala Lumpur, 11 Januari 2023 - Program Perbincangan Meja Bulat “Malaysia, Pasca Pilihanraya Umum Ke-15” telah berlangsung pada 10 hingga 11 Januari 2023 bertempat di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Kuala Lumpur.

Program yang dianjurkan oleh Kluster Kenegaraan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta belia yang terlibat bagi menaikkan semangat patriotik dan membuka mata serta minda dalam meneruskan perjuangan memajukan negara. Selain itu, fahaman terhadap politik dalam kalangan belia juga perlu dititik beratkan dalam perkembangan kerajaan perpaduan yang meneraju negara pada masa ini.

Program ini diadakan dengan pengisian dan pembentangan oleh ahli panel jemputan kehormat yang terdiri daripada cendiakawan dan ilmuan berpengaruh serta berlatar belakangkan fahaman serta ideologi politik yang luas di negara ini. Dialog yang dijalankan juga adalah satu manifestasi untuk pihak i-LEAD mendengar sendiri harapan dan idealisme anak muda secara khusus tentang kenegaraan.

i-LEAD sebagai peneraju dan penggerak kepada kenegaraan mempunyai pelbagai kaedah untuk memastikan advokasi demokrasi dapat dijalankan secara meluas. Justeru itu juga, menerusi program ini, i-LEAD sangat berbesar hati dan menghargai sumbang bakti seramai 15 orang ahli panel perbincangan yang telah menghasilkan kertas pembentangan berbentuk saintifik untuk rujukan dan panduan kita semua. Hasil perbicangan akan dicetak menjadi monograf rasmi untuk disebarkan kepada masyarakat di luar sana.

Seramai 170 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Institusi Pengajian Awam dan Swasta serta NGO Belia telah menghadiri program ini. Majlis perasmian menutup telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Amir Hamzah bin Awang Ghazali, Pengarah Bahagian Penyelarasan Strategik.

Besar harapan agar peserta sentiasa konsisten dalam memupuk semangat patriotik dalam diri kerana mereka bakal mewarisi negara ini pada masa hadapan. Belia juga perlu mencari rujukan yang sahih dan menilai dengan matang seiring dengan peredaran zaman supaya negara Malaysia yang tercinta ini kekal unggul, makmur dan bersatu-padu.

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Hak Cipta Terpelihara © 2019 | Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan | i-LEAD
Dibangunkan oleh Unit Pengurusan Korporat Dan Portal, Bahagian Pengurusan Maklumat, Kementerian Belia Dan Sukan

Kemaskini Laman Ini : 2023-06-01