16 November 2022 - MFLS Go Global ke Korea telah berlangsung pada 10 hingga 16 November 2022. Ia merupakan program yang dilaksana bagi melengkapkan elemen pengantarabangsaan di dalam program MFLS Tier 3.

Ia bertujuan memberi pendedahan secara langsung melalui pengalaman menyertai dan melaksanakan program belia di peringkat antarabangsa. Platform ini juga digunakan bagi memberi peluang kepada peserta untuk membina rangkaian perhubungan antara belia di luar negara.

MFLS Go Global ke Korea Selatan 2022 merupakan MFLS Go Global Kedua dengan penyertaan seramai 25 orang peserta. Para peserta MFLS Go Global ini merupakan peserta terbaik MFLS Tier 3. Untuk makluman juga, MFLS Go Global yang pertama telah diadakan pada tahun 2021 di Dubai sempena Expo Dubai 2020 dengan penyertaan seramai 25 orang.

Hari pertama para delegasi memulakan program dengan sesi lawatan ke National Science Museum dan lawatan ke Currency Museum di Daejeon. Rangkuman sesi lawatan pada hari tersebut adalah untuk memberi manfaat dan tambah nilai kepada peserta untuk menjadi pemimpin masa hadapan yang cemerlang.

Perjalanan hari kedua diteruskan dengan program di Sol Bridge International School of Business, Universiti Woosong, Daejeon dan Metropolitan Daejeon (Daejeon Metropolitan Council). Aktiviti hari kedua ini diakhiri dengan lawatan ke Daejeon Start-Up Hub (Daejeon Center For Creative Economy and Innovation – DCCEI). peserta berkesempatan membuat lawatan sekitar DCCEI dan menimba pengalaman baharu dengan melihat kehebatan teknologi yang disediakan.

Program ketiga adalah Explorace City TASK yang bermula dari pukul 8.30 pagi hingga pukul 7.00 malam. Program ini bertujuan bagi memberikan peluang kepada peserta untuk mengenali bandaraya negara asing yang dilawati tanpa guided tour. Para peserta telah meneroka lima tempat di sekitar bandar Seoul, Korea Selatan. Tempat yang dilawati ialah Changdeokgung Palace, Bukchon Hanok Village/Namsan Hanok, National Korean Museum, Myeongdong dan Starfield Library (Perpustakaan Starfield).

Peserta MFLS Go Global 2022 Korea Selatan meneruskan program hari empat dengan lawatan ke Demilitarized Zone. Program lawatan ini adalah salah satu pengisian bagi elemen Kenegaraan dalam program MFLS. Setelah itu, peserta turut dibawa melawat ke Dora Observatory dan Menara Namsan. Sesi lawatan hari keempat ini dilihat dapat memberi manfaat kepada bakal pemimpin masa hadapan ini kerana menerusi lawatan ini mereka banyak mendapat pengajaran, pembelajaran dan impak yang dapat yang diperolehi daripada pengamalan nilai murni masyarakat tempatan.

Aktiviti hari kelima ialah Youth Intellectual Forum (YIF) bertempat di Universiti Donyang Mirae, Seoul. YIF merupakan salah satu aktiviti di bawah elemen komunikasi. Program hari tersebut diteruskan dengan lawatan ke Blue House, yang terletak di Seoul, Korea Selatan. Blue House mengekalkan binaan yang ada dan menjadikannya sebagai tempat tarikan pelancong. Ini merupakan idea yang amat bernas untuk mengekalkan tradisi dan menjaga budaya yang sedia.

Delegasi MFLS Go Global telah diberi peluang pada hari keenam ini dengan sesi bersama-sama Duta Besar Malaysia Ke Korea Selatan, TYT Dato’ Lim Juay Jim. Aktiviti ini adalah salah satu pengisian bagi elemen pengantarabangsaan dalam program MFLS. Aktiviti kedua pada hari tersebut ialah Cultural Talk dan persembahan kebudayaan di Universiti Saejong, Seoul Korea Selatan. Melalui aktiviti hari ini, peserta dapat pengetahuan dan pengalaman baru serta rakan-rakan baru dari Universiti Saejong.

Aktiviti pada hari terakhir adalah outreach ke Parlimen / Dewan Persidangan Kebangsaan (National Assembly of South Korea. Daehanminguk Guhhwae-eesadang). Hasil outreach ke National Assembly ini peserta dapat memahami berkaitan sistem pentadbiran kerajaan Korea Selatan seterusnya membuat perbandingan dgn sistem di Malaysia.

Setelah selesai, semua delegasi dan peserta MFLS Go Global 2022 Korea Selatan bergerak ke Lapangan Terbang Incheon, Korea Selatan untuk berangkat pulang ke tanah air.
YBrs. Dr. Haji Hanafi bin Haji Harun, Pengarah Kluster Kepimpinan, i-LEAD dan Encik Ahmad Shukri bin Adnan, Ketua Penolong Pengarah, Kluster Kepimpinan menyambut ketibaan barisan delegasi MFLS Go Global 2022 Korea Selatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Semoga semua aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tujuh hari berada di Korea Selatan dapat memberikan impak yang positif dan memberi nilai tambah kepada semua peserta untuk menjadi pemimpin masa depan negara yang berwibawa.

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Hak Cipta Terpelihara © 2019 | Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan | i-LEAD
Dibangunkan oleh Unit Pengurusan Korporat Dan Portal, Bahagian Pengurusan Maklumat, Kementerian Belia Dan Sukan

Kemaskini Laman Ini : 2023-06-01