Berita Terkini
- iLEAD2
- Berita Terkini




MELAKA, 10 April 2021 – Pada 10 April 2021, Kluster Kerjaya, Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) dengan kerjasama daripada penganjur utama iaitu Institut Tun Perak dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka (UPEN) telah berjaya bersama-sama menganjurkan Karnival Kerjaya 3 Daerah Peringkat Negeri Melaka. Karnival ini dilaksanakan secara bersemuka di Kompleks Sukan Masjid Tanah, Melaka bermula 8.00 pagi hingga 5.30 petang.
Karnival ini telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Utama (Dr.) Haji Sulaiman bin Md Ali, Ketua Menteri Melaka. Antara pengisian yang menarik ialah penampilan khas oleh Datuk Rosyam Nor yang berkongsi tentang pengalaman beliau sebagai seorang usahawan selebriti. Karnival ini memfokuskan penawaran kerja sebanyak lebih 5,000 jawatan kosong yang disertai oleh 35 majikan. Terdapat lebih 30 ‘booth’ pameran berkaitan pekerjaan termasuk ‘booth’ Ujian Psikometrik, Kaunseling Kerjaya, Grooming dan juga ‘booth’ tawaran melanjutkan pelajaran ke IPT telah mengambil bahagian sepanjang karnival ini berlangsung.
Dialog Kerjaya telah dilaksanakan dengan jemputan khas 4 orang panel yang berkongsi tentang Kebolehpasaran Graduan, Penciptaan Pekerjaan Sektor Hartanah dan Pelaburan, dan Perkongsian ‘Success Story’ Sebagai Usahawan Berjaya. Seramai 2,767 orang peserta telah mendaftar dan 851 orang peserta telah hadir ke temuduga terbuka. Manakala sejumlah 175 orang peserta telah berjaya mendapat pekerjaan yang ditawarkan. Terima kasih kepada panel jemputan dan urus setia yang bekerjasama menjayakan karnival ini.