PADANG, 09 MAC 2020 – Program ASEAN Cultural Herritage merupakan salah satu modul di dalam Malaysia Future Leaders School (MFLS) Tier 3 telah berlangsung dengan jayanya di beberapa lokasi terpilih pada 03 hingga 09 Mac 2020.

Seramai 70 orang delegasi yang diketuai oleh Puan Nur Fariza binti Husaini iaitu Ketua Penolong Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah berada di Padang, Indonesia bagi menjalankan tugasan sepanjang Program ASEAN Cultural Herritage di sana.

Pelbagai aktiviti diadakan bagi mendedahkan mereka kepada jaringan, pengetahuan dan kemahiran bertaraf global serta memperhebatkan program bercirikan pengantarabangsaan belia berasaskan senario dan tren global semasa.

Antara aktiviti yang dilakukan adalah kunjungan hormat ke Pejabat Datuk Bandar Pariaman. Datuk Bandar, memberikan gambaran dan panduan mengenai budaya dan perkara-perkara sensitif yang perlu diambil berat berkisar dengan penduduk setempat dan keadaan budaya di sana. Di samping itu, peserta juga dapat memahami mengenai bidang tugas atau peranan mereka sebagai duta kecil sepanjang program di luar negara.

Pada hari kedua, Program Asia Speaks turut dilaksanakan di Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia oleh Pusat Belia Antarabangsa (IYC) dengan kerjasama Asian Youth Council (AYC), Asian Youth Network (AYN) dan Asia Youth Academy (AYA). Temanya berkenaan Entrepreneurship – ASEAN Social Enterprise (Indonesia – Padang) dan bertujuan membina hubungan diplomatik dan persefahaman antara peserta MFLS dengan peserta dari rantau ASEAN. Program ini dapat memberikan perspektif global agar perkembangan seiring dengan transformasi yang berlaku di rantau ini.

Mereka juga mengadakan beberapa siri lawatan di beberapa lokasi di Padang, Indonesia bagi melihat evolusi pembangunan di situ. Antaranya adalah Destinasi Budaya Tabuik, masjid bersejarah di Kota Pariaman, tugu tentera laut dan pelbagai tempat lain. Mereka juga membuat lawatan ke lokasi bersejarah lain seperti Pusat Dokumentasi Dan Informasi Kebudayaan Minangkabau , Jam Gadang dan Rumah Muzium Kelahiran Buya Hamka. Lawatan tersebut diharap dapat membuka dan meluaskan lagi pandangan para peserta supaya dapat berfikir secara kreatif dan kritis dalam penghasilan sesuatu kerja yang berkualiti kelak. Selain itu, kemajuan yang terdapat di negara tersebut dapat dijadikan panduan untuk pembangunan negara Malaysia pada masa hadapan.

Antara aktiviti lain adalah program keluarga angkat dan aktiviti kesukarelawan. Satu peluang yang menarik kerana dapat belajar serba sedikit adat dan budaya dari keluarga angkat di sana. Malam kebudayaan turut diadakan dan mereka menjadi duta kecil dalam mempromosikan budaya Malaysia serta dapat mempelajari kebudayaan masyarakat setempat selain aktiviti kesukarelawanan yang boleh menggambarkan kepada masyarakat setempat bahawa rakyat Malaysia adalah masyarakat yang mempunyai sivik yang tinggi dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti kesukarelawanan.

Program berlangsung selama 6 hari dan delegasi telah selamat sampai di Malaysia pada malam 09 Mac 2020.

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Hak Cipta Terpelihara © 2019 | Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan | i-LEAD
Dibangunkan oleh Unit Pengurusan Korporat Dan Portal, Bahagian Pengurusan Maklumat, Kementerian Belia Dan Sukan