KL Sport City Bukit Jalil, 12 Oktober 2019 – Kluster Modal Insan, Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) telah menganjurkan Konvensyen Kepimpinan Wanita dalam Sukan yang merupakan inisiatif yang julung kali diadakan. Konvensyen ini bermatlamat untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang pembangunan sukan merentasi gender serta penerapan sukan sebagai medium yang penting dalam melahirkan rakyat Malaysia yang sihat. Penganjuran konvensyen ini juga dilihat bertepatan dengan sasaran kerajaan yang menetapkan agar 50% rakyat Malaysia membudayakan sukan menjelang tahun 2020 termasuklah penglibatan golongan wanita dalam sukan berprestasi tinggi yang telahpun bermula sejak era 60-an di negara ini.

Pelaksanaan konvensyen ini merupakan salah satu pengisian dalam sambutan Bulan Sukan Negara 2019. Ianya berfungsi sebagai mekanisma untuk memperkasa peluang dan peranan wanita sebagai pemimpin dalam bidang sukanKonvensyen ini juga turut berperanan menyediakan platform kepada atlet muda dan penggiat sukan untuk berkongsi idea dan hala tuju kepimpinan wanita dalam sukan.

Panel jemputan bagi konvensyen ini adalah merupakan individu-individu dan ikon yang banyak menabur jasa membangunkan sukan negara. Antaranya adalah Prof. Dato’ Dr. Shamala Subramaniam, Pengarah Akademi Sukan, Universiti Putra Malaysia yang mengupas tajuk ‘Isu dan Cabaran dalam Kepimpinan Sukan’. Seterusnya Dr. Wirdati Mohd Radzi yang juga merupakan Pesuruhjaya Sukan Malaysia dengan tajuk ‘Wanita, Anda Boleh!’ dan atlet Gimnastik Negara, Cik Farah Ann Abdul Hadi yang membincangkan tajuk ‘Atlet Memimpin Dunia Sukan – Ada Berani?’.

Konvensyen ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran peserta yang majoritinya terdiri dari golongan wanita pelbagai sektor yang terlibat secara langsung dalam bidang pembangunan dan industri sukan.

Rumusan bagi Konvensyen Kepimpinan Wanita dalam Sukan telah disampaikan oleh Ketua Pengarah i-LEAD, YBrs. Encik Abdullah bin Hasan manakala majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan Malaysia. YB Menteri dalam ucapan penutupannya turut memaklumkan tentang penubuhan Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita dalam Sukan di peringkat Kementerian yang bertujuan untuk memartabatkan peranan wanita dalam bidang pembangunan sukan.

Sukan Untuk Semua!

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Hak Cipta Terpelihara © 2019 | Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan | i-LEAD
Dibangunkan oleh Unit Pengurusan Korporat Dan Portal, Bahagian Pengurusan Maklumat, Kementerian Belia Dan Sukan